KUCHING, 13 Mei: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi institusi pendidikan pertama Sarawak menubuhkan Pusat Pembelajaran Perintis pertama di China melalui kerjasama UNIMAS-KDGX Pusat Pembelajaran yang terletak di bandar Xi’an.
UNIMAS dalam satu kenyatan memaklumkan, pusat pembelajaran itu akan memperluaskan jangkauan ahli akademik UNIMAS yang pelbagai program kepada pelajar di China.
“Perkongsian ini menggariskan komitmen kuat UNIMAS untuk penglibatan antarabangsa dan aspirasinya untuk menjadi tumpuan global yang memberi impak kepada komuniti universiti,” katanya.
Pencapaian penting itu dicapai melalui perbincangan dan kerjasama erat antara UNIMAS dan Universiti Xi’an Kedagaoxin (KDGX) yang diketuai Pengerusi KDGX, Dr Sun Longjie.

Perasmian Pusat Pembelajaran Perintis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit yang menekankan usaha universiti ke arah peringkat yang lebih tinggi.
Dalam majlis tersebut, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit juga turut menyampaikan surat tawaran bersyarat kepada pelajar Prasiswazah dan Pascasiswazah dari KDGX.
“Isyarat simbolik ini menandakan permulaan menarik dalam pengembaraan akademik mereka bersama UNIMAS.
“Usaha kerjasama ini menandakan lembaran baharu dalam hubungan pendidikan yang mantap antara Malaysia dan China. Ia membuka jalan untuk pertukaran akademik yang lebih luas, kolaboratif inisiatif penyelidikan dan penghargaan yang lebih mendalam untuk nuansa budaya kedua-dua negara,” kata kenyataan itu lagi.
Hadir sama, Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Dr. Louis Ringah Kanyan, Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Perniagaan UNIMAS, Prof. Dr. Chin-Hong Puah dan Pengarah UNIMAS Global, Thian Foong Fatt. – TVS