LIMBANG, 13 Mei: Tanah susur dikesan di jalan masuk utama ke Taman Megah, Jalan Kubong, sehingga menjejaskan laluan keluar masuk penduduk di kawasan perumahan tersebut.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan berkata pihaknya menerima laporan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.12 malam, Isnin.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan kami mengesan berlaku tanah susur di jalan utama ke Taman Megah, yang menyebabkan laluan menjadi sempit dan berbahaya kepada pengguna jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada malam tadi.
Beliau menasihatkan penduduk di kawasan berhampiran supaya segera berpindah sekiranya terdapat pergerakan tanah yang aktif, selain memasang tanda amaran di lokasi berisiko.
Tambahnya, pihak berkuasa berkaitan termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut bagi tindakan lanjut.
Terdahulu, sepasukan anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang digerakkan ke lokasi, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai, untuk menjalankan operasi khidmat khas berkaitan kejadian tanah runtuh itu.