KUCHING, 13 Mei: Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) 2025 edisi ke-22 akan kembali dari 21 hingga 24 Ogos depan di Trek Siol MTB di sini dengan menjanjikan hadiah keseluruhan bernilai RM87,000.
Lebih menarik, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, SIMBC kini telah diiktiraf sebagai acara kelas pertama (C1) oleh Union Cycliste Internationale (UCI) yang satu pencapaian besar bagi acara sukan berbasikal berkenaan.
“Ia adalah satu pencapaian yang besar dan tahniah kepada DBKU sebagai penganjur. Ia bukanlah satu tugas yang mudah kerana UCI akan memantau sejauh mana kejayaan penganjuran, berapa banyak aduan yang diberikan oleh atlet dan sekiranya semua berjalan dengan baik maka mereka akan menaikkan lagi pencapaian itu.
“Dan kini kita mampu mencapainya, tetapi kita perlu kekalkan pencapaian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) 2025 di sini, hari ini.

Katanya, pada 2016, UCI secara rasmi mengiktirafkan Kategori 3 (C3) dalam acara perlumbaan tersebut dan dengan pengiktirafan itu ia dinamakan semula sebagai Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) dan dimasukkan dalam kalendar UCI dari 2016 hingga 2018.
Kata Abdul Karim, pengiktirafan tersebut membantu melonjakkan lagi nama Sarawak ke mata dunia dalam arena sukan.
“Ia sekali gus membantu mempromosikan Pelancongan Sukan di Sarawak. Kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama untuk pengembaraan dan Pelancongan Sukan di Malaysia dan Borneo.
“Justeru, acara ini memberi peluang kepada kita untuk mempamerkan keunikkan negeri yang menakjubkan ini serta mempromosikan Sarawak ke peringkat global,” katanya.
Acara itu juga katanya, bakal menyaksikan lebih 300 peserta dari Kemboja, Hong Kong, India, Kazakhstan, Nepal, China, Korea Selatan, Vietnam, Thailand, Filipina, Jepun, Brunei, Singapura, Indonesia dan seluruh Malaysia.
Beberapa kategori akan dipertandingkan antaranya Cross Country Olympic (XCO)-C1, Downhill Individual (DHI)-C2, Cross Country Short Course (XCC)-C3, Cross Country Eliminator (XCE)-C3 dan Cross-Country Relay (XCR)-Team Relay.
Bagi tahun 2025, kata Abdul Karim, terdapat dua kategori baharu iaitu Kategori DHI bawah 16 tahun yang menumpukan kepada belia untuk membangunkan pelumba basikal elit Malaysia bagi dipertandingkan di acara SUKMA 2026 dan SUKAN SEA 2027 dan kategori XCO lelaki dan wanita bawah 23 tahun yang bertujuan mencungkil bakat muda bersaing ke peringkat antarabangsa.
Acara sampingan seperti Larian Jejak Siol juga akan diadakan pada 23 Ogos 2025 bagi mencabar peserta melalui denai semula jadi Siol sekali gus memberi peluang kepada peserta untuk mengalami keindahan kawasan yang lasak. -TVS