KANOWIT, 13 Mei: Usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini membuahkan hasil yang ketara menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, kejayaan ini merupakan hasil daripada langkah memperkukuh autonomi negeri dan memperjuangkan hak hasil minyak dan gas, yang sekian lama menjadi agenda utama dalam perjuangan MA63.
“Pendapatan kerajaan negeri mencatat sejarah tertinggi dengan jumlah RM14.2 bilion tahun lalu. Dengan adanya dana sebanyak itu, kita tidak simpan untuk diri sendiri tetapi kita salurkan semula kepada rakyat, ke akar umbi, dalam bentuk pelbagai bantuan dan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Hari Bersama Komuniti N.49 Ngemah dan Biro Wanita SABERKAS Sarawak di Dewan Pejabat Daerah Kanowit, hari ini.
Tambahnya, antara manfaat langsung kepada rakyat termasuk program SKAS (Skim Kebajikan Asas Sarawak) yang menawarkan bantuan RM800 kepada individu layak untuk membeli keperluan asas dan bagi emas pula menerima manfaat pemeriksaan kesihatan percuma bernilai sehingga RM500.
Dalam aspek pendidikan, beliau berkata kerajaan negeri untuk menanggung sepenuhnya yuran pendidikan bagi pelajar Sarawak lepasan SPM yang melanjutkan pengajian dalam bidang STEM, teknologi, kejuruteraan dan kewangan di institusi pengajian tinggi milik Sarawak seperti Swinburne, Curtin, i-CATS, Kolej Laila Taib dan Centex bermula tahun depan.
“Malah, setiap pelajar akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,500 sebagai wang poket. Ini hanya mampu kita laksanakan kerana kita sudah berjaya mendapatkan kembali hak-hak kita yang lama dinafikan,” ujarnya.
Dengan dana yang banyak juga, kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membangun dengan pelbagai projek infrastruktur yang memberi kemudahan kepada rakyat.
Katanya lagi, ketika ini Kerajaan Sarawak dapat membina dan menyiapkan banyak jambatan penghubung dengan dana sendiri hasil daripada usaha dan kebijaksanaan pemimpin wilayah ini.
Selain itu pelbagai perancangan berjaya dilaksanakan seperti pengambilalihan Affin Bank, memperkukuhkan kedudukan PETROS dan projek lapangan terbang baharu dan pelbagai lagi adalah hasil daripada usaha Kerajaan Sarawak.
“Ini semua berjaya kita laksanakan kerana wujudnya perpaduan dan hubungan baik yang kita jaga ketika ini. Sokonglah sepenuhnya usaha kerajaan yang dibuat ketika ini,” tegas beliau.
Katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus bersatu hati dalam membawa agenda pembangunan dan mempertahankan hak Sarawak sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.
Dalam pada itu, Program anjuran SABERKAS Cawangan Ngemah itu disifatkan sebagai bukti komitmen NGO dalam mendekati rakyat dan menyokong usaha kerajaan, sejajar dengan semangat ‘rakyat didahulukan’ yang menjadi pegangan GPS.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kita terus pastikan Sarawak bangun sebagai negeri yang kuat, makmur dan berdikari dengan dana sendiri,” tambahnya.-TVS