KUCHING, 13 Mei: Hasil perbincangan antara Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuahkan tiga persetujuan penting berhubung isu Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Beliau ketika diminta mengulas perkara itu menjelaskan dokumen rasmi berkaitan persetujuan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ia turut dijangka membawa impak besar kepada hak negeri Sarawak serta peranannya dalam industri minyak dan gas.
“Tunggu dalam masa dua hari ini, kerana akan ada dokumen perjanjian antara saya dan PM,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Beliau turut memberi bayangan tiga perkara utama yang dipersetujui bersama Perdana Menteri.
“Pengiktirafan terhadap undang-undang persekutuan dan negeri, PETROS diiktiraf sebagai pengagregat tunggal gas Sarawak.
“Ketiganya, perjanjian komersial termasuk Sarawak meningkatkan pegangan dalam projek gas asli cecair (LNG),” katanya.
Sebelum ini, Abang Johari dan Anwar mengadakan perbincangan mengenai isu Petronas dan Petros yang tertumpu kepada penyelarasan peranan antara syarikat minyak dan gas nasional dan negeri dengan pendekatan “menang-menang”demi kepentingan kedua-dua pihak. -TVS