MIRI, 13 Mei: Kejayaan menamatkan kursus intensif tiga bulan membuka lembaran baharu buat 24 graduan Latihan Perantis Marin Dek untuk menceburi dunia pelaut.
Salah seorang graduan, Christopher Julianos Lias Edi menzahirkan rasa bangga dan berharap dapat menyumbang bakti kepada syarikat selepas tamat latihan.
Selepas tamat pengajian, saya berharap agar syarikat akan menerima saya bekerja. Saya telah mempelajari banyak perkara sepanjang kursus ini, dan saya perlu menerapkan segala ilmu yang diperoleh ke dalam dunia pekerjaan. Saya ingin menjadikan diri saya berguna demi masa depan saya,” katanya ketika ditemui TVS selepas Majlis Penyerahan Sijil Penyempurnaan Latihan Dek Sesi 42 Tahun 42/2025 Institut Pelita Maslaut di Kelab Rekreasi Petroliam (KRP), Miri, hari ini.
Manakala, Muhammad Aqil Syafiq berkata kursus ini membuka peluang untuk mengubah nasib keluarganya.
“Saya belajar pelbagai perkara di sini demi mengubah nasib keluarga saya yang sejak dahulu bergantung kepada pekerjaan di laut. Oleh itu, saya berharap agar saya berjaya dalam bidang ini untuk membawa perubahan kepada keluarga saya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nur Khairulnizzamuddin yang telah berkecimpung dalam bidang maritim sejak 2014 kini mengikuti kursus pegawai navigasi dek untuk beralih daripada krew sokongan ke jawatan pegawai.
“Kini saya sedang naik taraf ke pegawai. Selepas kursus dan peperiksaan, saya harap dapat pegang jawatan Pegawai Kedua di kapal,” katanya. – TVS