KUCHING, 13 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut berduka dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Perak, pagi tadi.
Tun Dr Wan Junaidi dalam satu kenyataan pada Selasa meluahkan rasa simpati belia serta doa agar ahli keluarga mangsa yang terkorban dan tercedera tabah menerima berita duka berkenaan.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita selama-lamanya. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-ornag beriman dan syuhada.
“Semoga mereka (ahli keluarga) dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dengan dugaan yang mereka hadapi dan juga semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Beliau dan isteri turut mendoakan agar semua mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera dan dapat kembali berkhidmat demi negara.
Tun Dr Wan Junaidi dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa atas tindakan pantas serta kecekapan mereka dalam mengendalikan insiden tersebut.
“Adalah penting untuk pasukan petugas negara sentiasa menekankan kepentingan aspek keselamatan untuk semua pada masa hadapan.
“Sama penting juga bagi pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan untuk mengelakkan tragedi malang yang sama berulang lagi,” katanya. – TVS