PUTRAJAYA, 12 Mei: Tempoh moratorium bagi pelaksanaan waktu bekerja jururawat selama 45 jam seminggu dilanjutkan sebulan lagi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, rumusan dan cadangan hasil libat urus sepanjang empat bulan berhubung cadangan pelaksanaan itu dijangka dibentang kepada Kabinet pada 1 Julai depan.
“Kini (prosesnya) di peringkat akhir, (libat urus) sudah banyak kali dilakukan. Tapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak akan buat keputusan tanpa betul-betul menyelami program kejururawatan (dan perkara yang berkaitannya) secara terperinci.
“(Lanjutan) ini bagi saya untuk buat rumusan, yang penting adalah pertimbangan kepada semua faktor, supaya apa juga keputusan nanti betul-betul adil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.
Tambah Dzulkefly, sesi libat urus dengan semua pihak yang terlibat telah selesai dijalankan.
Sebelum ini, beliau memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan tempoh interim selama tiga bulan mulai 1 Disember 2024 hingga 28 Februari depan bagi membuat persediaan ke arah pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam di Kementerian Kesihatan (KKM).
Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam itu, dengan menyifatkan ia sebagai tidak adil untuk membandingkan jururawat yang bekerja secara syif, termasuk tugas malam, dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja pada hari biasa.
Bagaimanapun Dzulkefly melalui maklum balas kepada kebimbangan itu menyifatkan arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang memerlukan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu mulai 1 Disember ini sebagai munasabah.
Sementara itu katanya, isu elaun jururawat yang juga pernah dibangkitkan oleh MNU masih dalam perbincangan di peringkat kementerian itu.- TVS.