KUCHING, 13 Mei: Seorang lelaki cedera di kepala dan lengan selepas ditetak oleh suspek bersenjata tajam dalam kejadian samun berkawan di sebuah kedai runcit di Bandar Baru, Kota Samarahan, malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.20 malam di sebuah premis perniagaan ketika mangsa, lelaki berumur 45 tahun, sedang menutup pintu kedai.
“Mangsa didatangi empat lelaki yang berpura-pura mahu membeli barang. Setelah dimaklumkan bahawa kedai sudah tutup, salah seorang suspek bertindak mengeluarkan pisau pemotong daging dan berlaku pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dua lagi suspek bertindak menetak mangsa di kepala dan lengan, sementara seorang lagi suspek memasuki kedai lalu melarikan wang tunai berjumlah RM400 yang disimpan dalam sebuah tin di kaunter jualan.
Mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Jantung Kota Samarahan dan dilaporkan stabil dengan enam jahitan di kepala dan tiga jahitan di lengan kiri. Isterinya yang berada di dalam premis ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, polis berjaya menahan seorang suspek berusia 31 tahun di kawasan semak berhampiran Taman Perumahan Desa Damai sekitar jam 10.21 malam hari yang sama.
“Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya.
Turut dirampas ialah sebuah motosikal yang dilaporkan hilang dan sebuah telefon bimbit milik suspek.
“Soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun yang dirancang oleh individu dikenali sebagai ‘Baby’. Tiga lagi suspek masih bebas dan sedang giat dikesan polis,” jelas beliau.
Kata Damataries lagi, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.
Polis telah memohon bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mengesan suspek lain yang dipercayai melarikan diri ke kawasan semak, namun setakat ini tiada petunjuk ditemui.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan sehingga mendatangkan kecederaan. Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat hari ini di Mahkamah Kota Samarahan.