SIBU, 13 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memuji langkah proaktif Kumpulan Rimbunan Hijau (RH Group) sebagai contoh syarikat korporat yang bukan sahaja mementingkan kemajuan perniagaan, tetapi juga sejajar dengan aspirasi negeri untuk membangunkan ekonomi baharu berasaskan kelestarian.
Beliau yakin bahawa Rimbunan Hijau sedang memperkukuh transformasi ekonomi Sarawak melalui pelaburan semula strategik dan usaha pemodenan yang selaras dengan dorongan negeri ke arah kelestarian dan inovasi.
“Saya menjangkakan pertumbuhan KDNK negeri akan melebihi lima peratus pada tahun 2025, disokong oleh pelaburan strategik dalam infrastruktur, teknologi hijau dan inovasi digital.
“Peruntukan pembangunan negeri sebanyak RM15.8 bilion membuktikan kesungguhan kita untuk meningkatkan perkhidmatan awam, memacu kemajuan yang saksama dan menjamin kemakmuran berpanjangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Majlis Pelancaran Fasad Baharu dan Pengubahsuaian Dalaman Menara Rimbunan Hijau di sini, hari ini.
Katanya lagi, beliau berbesar hati melihat Kumpulan RH memainkan peranan aktif dalam usaha ini menerusi pelaburan semula dan pemodenan berterusan, yang seiring dengan momentum pembangunan yang sedang dipacu di seluruh Sarawak.
Abang Johari turut mengulangi hasrat Sarawak untuk muncul sebagai hab tenaga bersih ASEAN, dengan sasaran untuk menjana sehingga 15 gigawatt tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035 melalui hidroelektrik, ladang solar terapung dan pengeluaran hidrogen.
“Peralihan ke arah ekonomi hijau bukan sahaja satu keperluan alam sekitar, malah merupakan peluang strategik.
Naik taraf yang dilaksanakan RH menunjukkan nilai kelestarian dan tanggungjawab yang sedang kita terapkan.
“Saya berharap lebih banyak syarikat akan menyertai usaha ini untuk membekalkan tenaga bersih kepada industri kita dan mengangkat kepimpinan Sarawak dalam kelestarian global,” tambahnya.
Beliau memuji usaha Kumpulan RH dalam memodenkan ibu pejabatnya di Sibu sebagai cerminan agenda kelestarian negeri, dan menggesa lebih banyak syarikat untuk menggunakan penyelesaian tenaga bersih selaras dengan masa depan hijau Sarawak.
“Saya berharap lebih banyak syarikat akan tampil untuk memperjuangkan tanggungjawab alam sekitar dan membantu mengukuhkan peranan Sarawak di pentas kelestarian global,” katanya.
Abang Johari juga menzahirkan penghargaan terhadap peranan RH sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyokong dasar pembangunan mampan dan sosial yang inklusif, termasuk usaha memperkukuh kebajikan komuniti dan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“RH telah membuktikan bahawa kejayaan korporat boleh berjalan seiring dengan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam. Inilah jenis kepimpinan yang kita perlukan dalam menjayakan transformasi ekonomi hijau Sarawak,” tambah beliau.
Merujuk kepada lawatannya ke United Kingdom baru-baru ini, beliau menyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama global dalam bidang tenaga bersih, ekonomi digital dan pembangunan mampan, yang boleh memberi manfaat kepada sektor awam dan swasta Sarawak.
Beliau juga menyatakan keyakinannya bahawa Kumpulan RH akan terus meningkatkan amalan kelestarian, menjaga kebajikan pekerja, dan mengembangkan jejak antarabangsa mereka.