KUALA LUMPUR, 13 Mei: Keputusan permohonan Malaysia bagi penambahan 10,000 kuota haji pada musim ini hanya akan diketahui hujung bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ketika ini Malaysia masih menunggu keputusan Kerajaan Arab Saudi selepas menghantar surat permohonan.
“Kita belum menerima maklum balas daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Pada tahun lepas, kita terima jawapan agak lewat. Mungkin ada pertimbangan (tetapi) saya percaya biasanya akan ada (penambahan kuota) mengikut trend sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Peralihan Penstrukturan Pengurusan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) di bawah Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, keputusan penambahan kuota itu juga bergantung kepada polisi baharu yang diperkenalkan Arab Saudi.
“Kita tak pasti lagi polisi yang akan mereka gunakan pada tahun ini.
“Kalau Arab Saudi mahu ketatkan, contohnya ktak nak jumlah begitu ramai seperti musim haji semasa COVID-19 dahulu, mungkin tak ada pertambahan.
“Jadi, ia bergantung kepada polisi yang akan diperkenalkan mereka selewat-lewatnya hujung bulan ini atau sebelum haji,” katanya.
Pada musim haji tahun ini, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota rasmi bagi jemaah Malaysia ialah seramai 31,600 orang. -TVS.