DARO, 13 Mei: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sawai kini dapat menikmati kemudahan jeti baharu yang lebih selesa dan selamat selepas kerja naik taraf selesai sepenuhnya awal tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, berkata projek ini dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan berjumlah RM150,000.
Menurut Safiee, projek yang diselenggara oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Mukah itu dinamakan ‘Pontun Sri Ilmu Sawai’ sebagai simbol kemudahan yang menyokong pendidikan luar bandar.
“Jeti ini memberi manfaat kepada lebih 50 murid yang berulang-alik menggunakan perahu setiap hari untuk ke sekolah.
“Ia bukan sahaja memudahkan perjalanan mereka, tetapi juga meningkatkan tahap keselamatan,” katanya ketika dihubungi selepas menyempurnakan majlis perasmian projek berkenaan.
Tambah Safiee, antara ciri istimewa jeti tersebut termasuklah ruang khas untuk menyimpan jaket keselamatan dan tempat menunggu yang lebih selesa dan selamat untuk murid-murid.
“Inisiatif ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang lebih baik kepada murid luar bandar melalui kemudahan sokongan yang mencukupi,” ujarnya.
Turut hadir, Guru Besar SK Kampung Sawai, Yahya Lamuji, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Azreen Jul, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Daro, Junaidi Mohamed dan Pegawai Perhubungan Sekolah, Norafizan Noor Azaam.
Safiee turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan dan berharap kemudahan itu dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan dan keselamatan murid. -TVS