Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yohgerndrra J (Kiri), Devraj Sathivelu (Kanan) ditemui pemberita TVS semasa Forum Ekonomi Hidrogen 2025 (H2EF), di sini pada Selasa.

IsobaricGT: Teknologi baharu pemudah akses hidrogen di Sarawak

ByFebbright James

KUCHING, 13 Mei: Sarawak bakal menjadi negeri pertama di dunia yang melaksanakan teknologi pemindahan hidrogen canggih IsobaricGT.

Ia merupakan hasil kerjasama antara NGL Tech Sarawak dan SEDC Energy, yang dijangka menjadikan pemindahan hidrogen lebih murah, pantas dan mudah diakses.

Teknologi ini sedang diteroka melalui projek perintis melibatkan pemindahan 50 kilogram hidrogen setiap kitaran pada tekanan 200 bar.

Proses pemindahan lengkap disasarkan dalam masa kurang daripada 10 minit yang disifatkan sebagai satu lonjakan besar berbanding sistem konvensional.

Menurut Pengarah Teknologi Hijau NGL Tech Sarawak, Devraj Sathivelu, teknologi ini membuka akses lebih meluas kepada penggunaan hidrogen dalam sektor pengangkutan dan industri.

“Teknologi ini membolehkan orang ramai mempunyai akses kepada hidrogen dengan lebih mudah selari dengan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen seperti yang disebutkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Ini akan menjadi yang pertama di Sarawak dan apabila ia sudah dilaksanakan, Sarawak bakal memiliki kaedah pemindahan hidrogen terpantas dan paling selamat serta murah di dunia,” katanya kepada TVS semasa Forum Ekonomi Hidrogen 2025 (H2EF), di sini pada Selasa.

Dalam majlis yang sama, satu Surat Hasrat (LOI) turut ditandatangani antara NGL Tech dan SEDC Energy sebagai simbol komitmen bersama memperkukuh teknologi pemindahan hidrogen masa depan.

Jurutera Penyelidikan dan Pembangunan NGL Tech Sarawak, Yohgerndrra J pula menerangkan bahawa sistem ini menggunakan modul tunggal untuk pemindahan hidrogen berterusan, berbeza daripada sistem lama yang memerlukan modul pendua.

“Selain itu, kami akan bekerjasama rapat dengan SEDC Energy untuk membangunkan stesen pengisian mudah alih hidrogen untuk pusingan pertama terlebih dahulu. Sekiranya ujian yang dilaksanakan berjaya, kami akan meningkatkan rantaian bekalan hidrogen.

“IsobaricGT ini menggunakan satu modul bagi pemindahan hidrogen berterusan (back-to-back), tidak seperti sistem konvensional di mana anda perlu melaksanakan modul pendua untuk mendapatkan pemindahan berterusan,” jelasnya.

Satu ciri unik teknologi IsobaricGT ialah keupayaannya beroperasi tanpa pemampat tekanan tinggi atau sistem penyejukan, menjadikannya lebih efisien dan menjimatkan tenaga berbanding sistem sedia ada.

Projek perintis ini dijangka mengambil masa sembilan bulan dan akan menguji keberkesanan operasi teknologi dalam situasi sebenar sebelum diperluaskan.

Pihak NGL Tech turut menyatakan penghargaan terhadap pendekatan proaktif Kerajaan Sarawak dalam pembangunan industri hidrogen.

“Dengan jelas kita tahu bahawa Sarawak peneraju kepada industri ini bukan sahaja di Malaysia, malah secara global dan ini sangat memberi inspirasi,” tambah Devraj.—TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan