KUCHING, 13 Mei: Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 menjadi platform penting memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam pembinaan mampan dan pendigitalan infrastruktur serantau.
Penasihat Kanan Infrastruktur kepada Pejabat Eksekutif Presiden Republik Indonesia, Prof. Dr. Resdiansyah berkata, penyertaan delegasi Indonesia mencerminkan komitmen tinggi negara itu terhadap agenda kelestarian dan inovasi dalam sektor pembinaan.
“Ini amat penting bagi Indonesia, memandangkan kami sedang menuju ke arah kelestarian dalam sektor pembinaan dan saya rasa ini merupakan peluang terbaik untuk kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam aspek kelestarian pembinaan.
“Indonesia kini sedang bergerak ke arah pendigitalan dalam infrastruktur. Saya percaya Malaysia juga sedang melakukan perkara yang sama,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri ICW Borneo 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Dalam pada itu, Prof. Resdiansyah menyifatkan pemilihan Kuching sebagai tuan rumah ICW tahun ini sangat signifikan, berikutan kedudukan strategik Borneo yang kini menjadi tumpuan pembangunan kedua-dua negara.
“Perkara ini menarik minat Indonesia, sebab itulah saya rasa ini yang mendorong kami untuk hadir ke acara ini kerana saya rasa ia adalah acara pertama di Borneo.
“Saya percaya Malaysia juga maklum bahawa Indonesia kini membangunkan Nusantara, ibu negara baharu yang turut terletak di Borneo, jadi saya rasa ini akan menjadi satu kelebihan untuk kedua-dua negara dari segi infrastruktur,” jelasnya.
Menurut Prof. Resdiansyah, perkongsian pengetahuan serta teknologi hijau dalam ICW boleh mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur yang mampan dan berimpak tinggi di rantau ini.
Justeru, beliau turut menyatakan harapan agar ICW edisi seterusnya di Kuala Lumpur pada Oktober nanti akan mendapat penyertaan lebih luas dari negara-negara Asia dan Eropah, sekali gus mengukuhkan komitmen global terhadap pembinaan yang lebih bertanggungjawab.
“Saya berharap pada persidangan ICW yang seterusnya di Kuala Lumpur kelak akan ada lebih ramai peserta yang hadir dan lebih ramai pihak yang mengambil berat tentang kelestarian dalam pembinaan akan turut serta,” ujarnya. – TVS