KUCHING, 13 Mei: Sarawak bakal memuktamadkan garis panduan dan peraturan sokongan bagi industri hidrogen menjelang hujung tahun ini.
Ia sebagai langkah memperkukuhkan rangka kerja kawal selia sektor tenaga hijau yang sedang pesat berkembang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata usaha ini sedang digerakkan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTy) bagi melengkapkan Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mac 2025.
“Peraturan yang jelas ini memberikan keyakinan kepada pelabur, penggiat industri dan orang awam dalam memastikan ekonomi hidrogen berkembang dalam keadaan selamat, tersusun dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Forum Ekonomi Hidrogen (H2EF) 2025 yang berlangsung di Kuching pada Selasa.
Menurut Abang Johari, langkah memperkenalkan peraturan khusus ini penting dalam membina keyakinan pelabur dan menyokong pertumbuhan industri secara sistematik.
Malah katanya ia selaras dengan peranan Sarawak sebagai peneraju tenaga bersih di Asia Tenggara.
“Pada 11 Nov 2024, Sarawak mencipta sejarah dengan meluluskan Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), yang memperkenalkan peruntukan khusus yang bertujuan untuk mengawal selia aktiviti berkaitan hidrogen,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Sarawak sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Pasifik (APGH) yang akan diadakan pada 9 hingga 11 Jun 2026 di BCCK.
Abang Johari optimis edisi seterusnya APGH akan memberi impak lebih besar berdasarkan kejayaan penganjuran sebelum ini sekali gus memperkukuh kerjasama serta pelaburan dalam tenaga bersih di peringkat serantau dan global.—TVS