LAHAD DATU, 13 Mei: Dua daripada empat lelaki yang dikhuatiri hilang selepas masuk ke hutan di Tamaco, Tungku dekat sini pada Khamis lalu ditemukan dalam keadaan selamat sementara dua lagi masih hilang, setakat berita ini ditulis.
Menurut maklumat awal, Fendery Ani, 37, bersama tiga rakannya gagal pulang dan tidak dapat dihubungi sejak mereka memasuki hutan sekitar jam 4 petang. Usaha menghubungi mereka menerusi telefon tidak berjaya, malah Fendery turut gagal hadir bertugas di Kem Cenderawasih seperti dijadualkan pada 11 Mei.
Sepupu kepada Fendery kemudian membuat laporan polis, sekali gus menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu yang menerima panggilan kecemasan pada pagi 12 Mei.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota bomba, PDRM, ATM, APM dan orang awam memulakan pencarian dalam radius satu kilometer dari lokasi dipercayai mereka kali terakhir berada. Bagaimanapun, cuaca buruk dan hujan lebat menyebabkan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 4 petang semalam.
Pencarian disambung pagi ini berdasarkan panduan daripada dua mangsa selamat sebagai sumber maklumat penting bagi membantu pasukan penyelamat.
Operasi diketuai oleh PBK I Mohammad Akbar Mohambar dari BBP Lahad Datu, manakala Ketua Balai BBP Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid, boleh dihubungi untuk sebarang maklumat lanjut.-TVS