Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dibina semula, di Pangkalan Udara Gilze-Rijen, selatan Belanda. Foto fail AFP
Majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (12 Mei) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden pesawat Malaysia ditembak jatuh di ruang udara Ukraine yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda dan 38 warga atau penduduk Australia, menurut kenyataan berasingan kerajaan Belanda dan Australia Foto fail AFP

Badan penerbangan PBB putuskan Rusia bertanggungjawab insiden MH17 ditembak jatuh – Laporan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (12 Mei) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden pesawat Malaysia ditembak jatuh di ruang udara Ukraine yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda dan 38 warga atau penduduk Australia, menurut kenyataan berasingan kerajaan Belanda dan Australia, lapor Reuters.

Menurut laporan itu, kedua-dua kerajaan memaklumkan bahawa Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang sesuai dalam beberapa minggu akan datang.

Penerbangan Malaysia Airlines MH17, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, ditembak jatuh di timur Ukraine ketika pertempuran hebat antara pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Pada November 2022, laporan itu menyebut bahawa mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Rusia dan seorang lelaki warga Ukraine atas kesalahan membunuh secara “in absentia” kerana peranan mereka dalam serangan tersebut.

Moscow menyifatkan keputusan itu sebagai “skandal” dan menyatakan tidak akan mengekstradisi warganya, menurut laporan tersebut.

Reuters melaporkan bahawa kes itu difailkan pada 2022 oleh Australia dan Belanda.

“Keputusan ini merupakan langkah penting ke arah mencari kebenaran serta mencapai keadilan dan akauntabiliti bagi semua mangsa MH17 serta keluarga dan orang tersayang mereka,” kata Menteri Luar Belanda Caspar Veldkamp seperti dipetik.

“Keputusan ini juga menghantar mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa: sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan.”

Belanda dan Australia mahu Majlis ICAO mengarahkan Rusia supaya memulakan rundingan mengenai pampasan, tambahnya.

Menteri Luar Australia Penny Wong pula dilaporkan berkata bahawa pihaknya mengalu-alukan keputusan itu dan menggesa ICAO bertindak segera dalam menentukan bentuk pampasan yang sesuai.

“Kami menggesa Rusia supaya akhirnya mengakui tanggungjawabnya terhadap tindakan keganasan yang dahsyat ini dan membayar pampasan atas salah laku berat yang dilakukan, seperti yang dituntut di bawah undang-undang antarabangsa,” Wong dipetik sebagai berkata.

ICAO tidak mempunyai kuasa perundangan tetapi mempunyai pengaruh moral dan menetapkan piawaian penerbangan global yang diguna pakai oleh sebahagian besar 193 negara anggotanya, menurut laporan tersebut.

Bernama sedang menghubungi Malaysia Airlines untuk mendapatkan maklum balas. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan