MIRI, 13 Mei: Seramai 24 pelatih Program Marine Deck Apprentice berjaya menamatkan latihan intensif selama tiga bulan dan kini bersedia melangkah ke alam kerjaya sebagai pelaut profesional.
Penolong Pegawai Laut A5, Jabatan Laut Miri, Shabik Ahmad Yagathali, melahirkan rasa bangga terhadap dasar pengambilan pelatih yang fleksibel oleh Institut Pelita Maslaut, yang menurutnya membuka lebih banyak peluang kepada anak tempatan, khususnya belia Sarawak, untuk menceburi bidang perkapalan.
“Saya difahamkan bahawa Institut Pelita Maslaut telah beroperasi di Sarawak sejak tahun 2009 dan sehingga kini telah melahirkan ramai pelaut berkemahiran tinggi.
“Ini satu pencapaian yang amat membanggakan dan memberi impak langsung kepada peningkatan ekonomi penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sijil penyempurnaan latihan Dek Sesi 42 Tahun 42/2025 Institut Pelita Maslaut di Kelab Rekreasi Petroliam (KRP), Miri, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa pelaut masa kini bukan sahaja perlu mahir dalam aspek pelayaran, malah perlu menguasai pengetahuan dalam bidang pengurusan risiko, penyelenggaraan kapal, psikologi industri, serta aspek pemeliharaan alam sekitar maritim.
“Saya ingin nyatakan di sini, perjalanan anda masih jauh. Teruskan pembelajaran untuk meningkatkan kompetensi. Anggaplah ini sebagai langkah pertama dalam membina kerjaya. Teruskan usaha untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya lagi. – TVS