DEBAK, 13 Mei: Seramai 2,376 penerima di Bahagian Betong menerima bantuan masing-masing sempena Majlis Sejambak Kasih anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diteruskan lagi bersempena sambutan Hari Gawai Dayak 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, inisiatif itu merupakan antara aktiviti tahunan JKM Sarawak dalam meringankan dan memudahkan persiapan penerima bantuan dalam membuat persediaan menyambut perayaan Hari Gawai Dayak akan datang.
Katanya, penerima bantuan hendaklah memanfaatkan bantuan yang disalurkan dengan bijaksana sebagai salah satu dorongan untuk memperbaiki taraf kehidupan yang lebih baik.
“Bantuan yang diterima ini adalah hasil usaha kerajaan yang prihatin terhadap keperluan para penerima.
“Oleh itu, saya amat berharap agar bantuan ini dapat dimanfaatkan secara bijaksana, dan jadikan ia sebagai dorongan untuk berusaha memperbaiki taraf kehidupan masing-masing selepas ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Gawai Dayak 2025 Bahagian Betong di Rumah Panjang Gara Tindin, Blassau Debak, hari ini.
Beliau berkata, setiap penerima bantuan perlu yakin dengan kemampuan dan usaha diri sendiri dalam usaha mencari peluang untuk memperbaiki taraf hidup yang semakin mencabar ketika ini.
“Meskipun cabaran hidup masa kini mungkin sukar tetapi kita harus yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan dengan ikhlas akan membuahkan hasil.
“Jangan pernah berputus asa dalam memperbaiki diri, teruslah mencari peluang untuk meningkatkan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Saribas berkata sama seperti pelaksanaan di kawasan lain, setiap penerima bantuan Program Sejambak Kasih Gawai Dayak 2025 di Bahagian Betong juga turut menerima wang tunai sebanyak RM100 beserta hamper perayaan bernilai RM80.
Bahagian Sri Aman merekodkan jumlah penerima bantuan tertinggi Sejambak Kasih Gawai Dayak tahun ini dengan 4,359 penerima diikuti Bahagian Kuching (2,896 penerima) dan Bahagian Kapit di tempat ketiga dengan 2,878 orang penerima.