MIRI, 13 Mei: Seramai 200 pengamal media dijangka akan mengambil bahagian dalam Karnival Media Sarawak (KASUMES) 2025 peringkat Zon Utara pada 24 Mei ini.
Menurut Timbalan Pengarah UKAS Joahcim Paggang Jabong, KASUMES merupakan salah satu program yang dianjurkan oleh pihaknya bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat Sarawak 2025.
“Penganjuran KASUMES ini merupakan satu inisiatif yang sangat positif bagi mengeratkan hubungan sesama warga media di Sarawak, dan zon utara khususnya. Selain memupuk semangat kesukanan ia juga merupakan salah satu platform penting untuk menjalin kerjasama dalam kalangan semua peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat KASUMES bagi bahagian Zon Utara di sini hari ini.
Tambah Joachim, karnival sukan di Zon Utara ini merupakan program KASUMES kedua selepas Sibu untuk Zon Tengah yang akan berlangsung pada 15 Mei ini.
Antara sukan yang akan dipertandingkan di Zon Utara ialah pickleball dan dart.
Bagi sukan pickleball, terdapat empat kategori yang akan dipertandingkan iaitu beregu VIP dan Jemputan, beregu campuran, beregu lelaki dan beregu wanita.
Untuk permainan Dart pula, hanya dua kategori dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki dan wanita.
Kemuncak bagi sambutan Hari Wartawan Nasional peringkat negeri akan diadakan di Kuching.
“Kemuncaknya adalah penganjuran Persidangan Media dan majlis makan malam yang akan diadakan di Kuching nanti. Walaubagaimanapun, tarikhnya belum ditentukan lagi,” katanya.
Turut hadir ialah pegawai UKAS Miri Dayang Norazlin Hamdan, Presiden Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) Chai Chon Chin dan wakil daripada beberapa agensi lain. – TVS