BINTULU, 13 Mei: Sebanyak 10 pintu rumah pekerja BGC Construction, Samalaju di sini terbakar tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 1.51 tengah hari dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran rumah pekerja, struktur tidak kekal melibatkan tiga buah blok yang terdiri daripada 10 pintu jumlah keseluruhan terbakar keseluruhan.
“Tindakan awal pihak pemaju melakukan firebreak sebelum ketibaan pihak bomba menggunakan jengkaut berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke blok lain.,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 300 kaki, satu cabang pembahagi, dua nozel air dari pam jentera dan punca air terbuka daripada kolam berdekatan sehingga api dipadamkan sepenuhnya.
“Kerja-kerja overhaul dijalankan sehingga tiada lagi punca nyalaan, tiada mangsa dilaporkan cedera semasa kejadian.
“Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” ujarnya. -TVS