BINTULU, 12 Mei: Seorang warga emas mengalami luka ringan di bahagian muka dalam insiden kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang jenis kayu di Rumah Cali, Jalan Ulu Sebauh, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, wanita berusia 65 tahun itu diberikan rawatan awal oleh pasukan unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 10.40 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai.
“Kebakaran membabitkan rumah panjang 12 pintu yang musnah 100 peratus.
“Dianggarkan seramai 89 penghuni terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Memandangkan lokasi kejadian terletak di seberang sungai, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan perahu untuk memindahkan peralatan pemadaman ke kawasan kebakaran.
“Pasukan keluaran operasi menjalankan pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dari sumber pili bomba serta satu aliran 200 kaki dari sumber air terbuka iaitu sungai,” ujarnya.
Operasi diketuai Timbalan Penguasa Bomba I (TPgB) Christus Buson bersama Pegawai Penguasa Bomba (PPgB) Francis Aceh Angai dan disertai 10 anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS.
Turut membantu di lokasi ialah lapan anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).-TVS