MAKKAH, 12 Mei: Tabung Haji (TH) menyambut baik langkah proaktif kerajaan Arab Saudi yang melaksanakan peraturan dan kawalan ketat sempena musim haji 1445H/2025M, termasuk larangan keras terhadap individu yang cuba menunaikan ibadah haji tanpa visa haji yang sah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata ketetapan itu amat penting bagi memastikan kelancaran keseluruhan operasi haji serta menjamin keselamatan jemaah dari seluruh dunia.
“Fatwa Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi turut menetapkan bahawa hanya individu yang memiliki permit haji yang sah dibenarkan menunaikan ibadah haji, menjadikan pemilikan permit tersebut sebagai satu kewajipan bagi semua jemaah.
“Individu yang cuba menunaikan haji tanpa visa sah boleh dikenakan penalti sehingga SR20,000 (RM22,923), manakala ejen yang terbabit membawa jemaah tanpa kebenaran berdepan denda lebih tinggi iaitu sehingga SR100,000 (RM114,615),” katanya pada sidang media mingguan di Ibu Pejabat TH di sini, hari ini.
Mohd Hisham berkata pelaksanaan kawalan ketat di semua lokasi pemeriksaan keselamatan menuju ke Masjidil Haram turut menunjukkan kesungguhan kerajaan Arab Saudi untuk tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan.
Beliau turut memaklumkan bahawa mana-mana kenderaan yang digunakan untuk membawa jemaah tanpa permit sah ke Makkah atau Madinah juga akan dikenakan tindakan sewajarnya, termasuk denda yang setimpal.
Sehubungan itu, TH menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran daripada individu, ejen atau organisasi yang menjanjikan peluang menunaikan haji menggunakan visa selain visa haji yang sah.
“Ini termasuk iklan atau jemputan yang disebarkan melalui media sosial, panggilan telefon dan platform lain yang menjanjikan akses mudah ke Tanah Suci tanpa mematuhi peraturan visa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Mohd Hisham berkata pelaksanaan peraturan ketat itu terbukti berkesan apabila pergerakan keluar masuk jemaah di kawasan Masjidil Haram kini lebih tersusun dan tidak sesak seperti musim-musim haji terdahulu.
“Langkah ini memberi ruang kepada jemaah dari seluruh dunia untuk menunaikan ibadah dalam suasana yang lebih tenang dan teratur tanpa sebarang gangguan. Malah, jemaah Malaysia rata-rata menyambut baik serta memuji pelaksanaan peraturan ini kerana ia banyak membantu kelancaran ibadah mereka,” katanya. -TVS