KUALA LUMPUR, 12 Mei: Pasukan double sepak takraw negara mengakui berdepan tentangan sengit India dalam separuh akhir acara itu pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 sebentar tadi.
Aidil Aiman Azmawi berkata, sesiapa yang tidak mengikuti sepak takraw secara rapat pasti menyangka India sebagai pasukan belasahan namun hakikat sebenarnya berbeza.
“Sebenarnya memang susah lawan India tadi, orang cakap India tidak power tapi sebenarnya mereka sudah kalahkan Indonesia semalam pada suku akhir,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Kemenangan 2-0 ke atas negara Asia Selatan itu membolehkan Aidil Aiman dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin mengesahkan slot final menentang pasukan pilihan, Thailand malam ini.
Berbalik kepada aksi separuh akhir bertemu India di Stadium Titiwangsa, pasangan negara memerah keringat hampir sejam sebelum berjaya menyingkirkan gandingan Yumnamakash dan SK Singh.
Set pertama berlangsung dengan aksi saling memintas namun kemenangan memihak kepada Malaysia menerusi keputusan 15-12.
India bangkit pada set kedua apabila mendahului 2-0.
Wakil Malaysia yang menerima sokongan padu penonton berjaya mengawal rentak permainan dengan menyamakan kedudukan 8-8 namun beberapa kesilapan dilakukan menyebabkan India kembali mendahului 12-10.
Aidil Aiman berkata, ketika ketinggalan, dia dan rakannya saling memberi semangat kerana menyedari lawan semakin ghairah mengasak mereka.
“ Set kedua, saya dan Aizat bincang, kami kena sabar banyak-banyak, ada rezeki ke final dan kami dapat perkemaskan semula pertahanan dan Alhamdulillah kemenangan berpihak kepada kita,” katanya.
Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Thailand menyingkirkan Indonesia 2-0. -TVS.