KUCHING, 12 Mei: Sarawak kini berada di landasan yang tepat untuk memperkukuh kedudukannya dalam arena sukan tanah air melalui penubuhan Pusat Berprestasi Tinggi Sarawak yang bakal dibina di Kompleks Sukan Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penubuhan pusat tersebut diyakini mampu melonjakkan pencapaian atlet dan seterusnya mengukuhkan reputasi negeri sebagai peneraju pembangunan sukan negara.
“Kita akan membina Pusat Berprestasi Tinggi Sarawak sebagai langkah penting untuk memajukan bidang sukan di negeri ini. Sarawak perlu mempunyai ‘Bukit Jalil’ versi kita sendiri. Dengan adanya pusat ini, kita akan melengkapkan kemudahan sukan yang sedia ada.
“Saya percaya lawatan kerja ke Australia baru-baru ini sangat bermakna kerana ia memberi kita gambaran jelas tentang pengisian dan pendekatan yang perlu diambil. Kita sedar bahawa mana-mana negara yang ingin maju dalam bidang sukan mesti memiliki pusat berprestasi tinggi seperti ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Tarian ‘Born To Perform’ Edisi Sulung di Muzium Budaya Borneo Kuching, di sini hari ini.
Mengulas mengenai lawatan ke Australia, Abdul Karim menjelaskan bahawa lawatan tersebut bagi mempelajari teknologi, metodologi serta kemudahan latihan yang digunakan untuk melatih atlet elit negara tersebut.
“Saya baru sahaja pulang dari Australia, di mana saya mengadakan lawatan ke Sydney dan Canberra untuk meninjau cara negara itu mengurus dan membangunkan sektor sukan mereka.
“Australia memberikan penekanan yang sangat serius terhadap pembangunan sukan dan ini terbukti apabila mereka sentiasa muncul sebagai antara negara terbaik dari segi kutipan pingat dalam temasya seperti Sukan Olimpik, Komanwel dan Sukan Asia.
“Lawatan ini bertujuan untuk memahami ramuan kejayaan mereka dan bagaimana mereka berjaya melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia dan menjadi antara negara paling maju dalam pembangunan sukan,” jelasnya.
Abdul Karim dan delegasinya baru- baru ini mengadakan lawatan ke Pusat Prestasi Tinggi di Sydney bagi menggiatkan usaha projek penubuhan Pusat Berprestasi Tinggi Sarawak.
Projek tersebut juga merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Pelan Induk Pembangunan Sukan Sarawak dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai kuasa besar sukan negara. – TVS