MIRI, 12 Mei: Nilai murni seperti kasih sayang dan saling hormat-menghormati perlu dipupuk sejak kecil bagi membentuk masyarakat lebih harmoni serta bersatu padu.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendidikan awal yang menekankan pembentukan sahsiah dan tanggungjawab sosial adalah amat penting dalam mencorak generasi masa depan lebih bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling.
“Saya tekankan bahawa apabila kita bercakap tentang nilai positif, ia perlu dimulakan sejak usia muda. Sebab itulah saya menyokong Pertubuhan Ugama Buddha Miri kerana menganjurkan kelas untuk kanak-kanak. Mereka bermula dengan hanya kira-kira 11 orang dan hari ini jumlahnya meningkat kepada 25 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Hari Wesak anjuran Pertubuhan Ugama Buddha Miri, di sini, hari ini.
Kim Shin turut memuji usaha organisasi berkenaan yang menganjurkan kelas pembangunan karakter untuk kanak-kanak dan ia wajar diperluaskan kerana memberi impak besar dalam membina masyarakat prihatin dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong pembangunan masyarakat melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk peruntukan kepada organisasi sosial serta liputan media bagi aktiviti kemasyarakatan.-TVS