KUALA LUMPUR, 12 Mei: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berlepas ke Rusia esok sehingga 16 Mei untuk lawatan rasmi.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar ke negara itu bagi memenuhi undangan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Jelas beliau, lawatan membabitkan Moscow pada 15 Mei dan diteruskan ke Kazan, Tatarstan sehingga 16 Mei.
“Perdana Menteri juga akan menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa KazanForum Ke-16 atas jemputan Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov
“Semasa di Moscow, Perdana Menteri akan berucap di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO) (selain) mengadakan perjumpaan dengan ahli perniagaan Rusia dan mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Jadual padat Perdana Menteri semasa lawatan berkenaan juga akan menyaksikan beliau menyampaikan ucaptama semasa sesi plenari KazanForum pada 16 Mei 2025.
“(Perdana Menteri juga akan) menyampaikan ucapan di Mesyuarat Strategic Vision Group dan mengadakan pertemuan dengan Rais Tatarstan,” katanya.
Sementara itu Tengku Nashrul berkata, Anwar turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Wesak dengan menekankan mesej kasih sayang dan keamanan bersama persefahaman yang utuh sebagai kunci hidup masyarakat majmuk di negara ini.
“Malaysia dikurniakan dengan pelbagai perayaan dan budaya dan Hari Wesak ini mengingatkan kita semua untuk menyemai cahaya kebaikan, menolak segala bentuk ekstremisme, dan membina masyarakat yang saling menghormati.
“Hatta memancarkan cahaya kasih, harapan dan cinta tanpa sempadan ke seluruh dunia, demi sebuah negara yang aman, adil dan sejahtera untuk semua,” ujarnya lagi. – TVS