Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Suasana di sekitar Kompleks Haji Sepang sewaktu ahli keluarga menghantar Jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci untuk menunaikan Ibadah Haji 1446H/2025M ketika Liputan Penerbangan Jemaah Haji ke Tanah Suci hari ini.Foto, Bernama.

Pengorbanan dan kesyukuran warnai perjalanan jemaah haji Malaysia 1446H

ByTVS

SEPANG 12, Mei: Seramai 12,030 jemaah haji Malaysia bagi Musim Haji 1446H selamat berlepas ke Tanah Suci setakat ini melalui 40 penerbangan yang telah dijadualkan.

Timbalan Pengarah Operasi Haji Tanah Air 1446H, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, jumlah penerbangan melibatkan 31,600 jemaah haji dibahagikan kepada dua destinasi utama, iaitu Madinah dan Jeddah.

“Baki 19,570 bakal haji yang akan diterbangkan mengikut jadual,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji di sini hari ini.

Sementara itu beberapa jemaah haji berkongsi pengalaman menabung bertahun-tahun demi menyahut seruan ke Tanah Suci.

Mohd Jasmi Rahaman, 51, dari Beranang, Selangor berkata, dia sangat bersyukur kerana berpeluang menunaikan haji lebih awal kerana dipilih menjadi pengiring bapanya.

“Giliran saya sepatutnya lagi 20 tahun  tapi bula ayah, Rahaman Ismail dapat panggilan dan dikira lanjut usia, dia boleh bawa seorang pengiring.

“Selepas berbincang dengan adik-beradik, mereka sepakat memilih saya,” katanya.

Mohd Jasmi juga mengakui kewangan menjadi cabaran kerana tidak membuat persediaan awal.

“Saya berbincang dengan isteri, anak-anak dan adik-beradik. Mereka sanggup mendahulukan duit untuk realisasikan impian saya.

“Tanpa sokongan mereka, saya takkan ada di sini hari ini,” katanya dengan penuh emosi.

Pasangan muda, Muhammad Asyraf Rizwan, 30, dan Hana Shahirah, 30, turut berkongsi kegembiraan diberi rezeki menunaikan haji bersama selepas mendirikan rumah tangga awal tahun ini.

“Perasaan kami memang gementar, tetapi ini adalah hadiah daripada Allah. Kami rasa sangat bertuah,” kata Muhammad Asyraf.

Jelasnya tabiat menabung sejak kecil membolehkan dia mempunyai kewangan mencukupi.

“Sejak umur empat tahun, saya kumpul duit raya. Ibu saya pula sentiasa masukkan duit ke akaun Tabung Haji saya. Alhamdulillah, cukup untuk kami berdua,” ujarnya.

Berbeza dengan kisah Siti Norhasmah Abd Rahman, 48, dari Temerloh, Pahang yang mendedahkan perancangan awal adalah kunci untuk membolehkan beliau sekeluarga menunaikan haji bersama.

“Rombongan kami ada sembilan orang. Kami rancang sejak anak lahir, terus buka akaun Tabung Haji dan masukkan RM100 sebulan termasuk duit raya,” katanya.

Walaupun gembira, dia mengakui sayu kerana meninggalkan anak-anak dan cucu yang masih kecil.

Jemaah haji yang berlepas hari ini dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah, dengan tiga penerbangan daripada Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan