KUCHING, 12 Mei: Kemenangan dan kepuasan sebenar seorang jururawat terletak pada kesembuhan pesakit yang dirawat dan dijaga dengan penuh dedikasi.
Petugas kesihatan ini bekerja hampir setiap jam tanpa mengenal erti jemu, penat dan lelah demi memastikan pesakit mendapat perkhidmatan perubatan terbaik dan pulih seperti sedia kala.
Berkongsi pengalaman sepanjang bertugas selama 20 tahun di dalam bidang kejururawatan, Jururawat Pakar yang bertugas di Jabatan Pembedahan Hospital Pakar KPJ Kuching, Francisca Christopher Aju, 43, berkata merawat pesakit yang berada di tahap kritikal dan berhadapan dengan ahli keluarga bagi menjelaskan situasi sebenar merupakan cabaran yang acap kali ditempuhi dirinya dan rakan-rakan seperjuangan.
“Bidang kejururawatan ini penting dalam membantu menyelamatkan nyawa manusia.
“Selain itu, memberi kesedaran melalui pendidikan kesihatan kepada orang ramai supaya mereka tahu kepentingan mengutamakan kesihatan di dalam kehidupan,” katanya.
Sementara itu, jururawat, Suzie Jerus, 28, berkongsi mengenai pengalamannya apabila berhadapan dengan keadaan ‘end stage life’ atau kehidupan peringkat akhir yang melibatkan seseorang pesakit.
“Saya sering menceritakan tentang ‘end stage life’ apabila seseorang pesakit sudah berada pada fasa akhir (tenat). Kami sebagai jururawat perlu menenangkan pesakit itu dan ahli keluarga yang lain bagi memastikan mereka sedia menerima keadaan tersebut dan kadang-kadang saya akui memang agak sukar.
“Kita perlu teliti dan bijak dari segi percakapan, dan memberi penerangan supaya mereka faham akan situasi sebenar,” jelasnya.
Seterusnya, bagi Heidi Bryn Tomson, 22, yang bertugas sebagai jururawat di Jabatan Pembedahan, sepanjang bertugas dia banyak berinteraksi dengan pesakit dari negara jiran seperti Indonesia yang bertutur menggunakan bahasa ibunda mereka apabila datang mendapatkan rawatan di Kuching.
“Suka atau tidak tanpa disedari saya mula belajar berkomunikasi menggunakan Bahasa Indonesia kerana kami banyak menerima pesakit yang bukan sahaja rakyat Malaysia.
“Selain belajar memahami bahasa mereka, saya juga mula menyelami budaya mereka sekaligus memudahkan tugasan harian,”ujarnya.
Seorang lagi Jururawat Kanan yang bertugas di dalam bilik bedah, Mohd Sofian Johari, 32, menjelaskan bahawa tugas jururawat bukan sahaja membantu dalam proses perawatan, tetapi juga menangani mental dan emosi setiap pesakit.
“Apabila pesakit sembuh dan mampu bergerak normal itu merupakan salah satu kejayaan kami bersama doktor dan rakan setugas yang lain.
“Paling berharga apabila mereka (pesakit) yang pulih berpuas hati dan berterima kasih dengan perkhidmatan yang diberikan sepanjang mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Berkongsi pengalaman manis sepanjang 32 tahun menggalas tugas menjadi jururawat, Pemangku Ketua Pegawai Kejururawatan Hospital Pakar KPJ Kuching, Prema Maniam berkata, salah satu pengalaman berharga beliau ialah apabila berjaya memujuk seorang pesakit strok menjalani rawatan sehingga mampu berjalan.
“Kita memang mengetahui bahawa kadang-kadang pesakit ini datang ke hospital kerana sakit.
“Ada ketika emosi mereka tidak stabil dan terganggu. Kita sebagai jururawat yang perlu membantu dia, beritahu apa yang perlu dia lakukan dan itu salah satu tugas jururawat,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Penyelia Jururawat di Hospital Pakar KPJ Kuching menjelaskan bahawa antara cabaran yang pernah ditempuh sepanjang perkhidmatannya ialah apabila terpaksa meninggalkan anak yang sedang sakit di rumah kerana terpaksa bergegas ke hospital atas tuntutan pekerjaan.
“Saya agak sedih kerana tidak dapat mengambil cuti menjaga anak yang sakit.
“Tetapi saya berjaya mengatasi cabaran itu dan memastikan keberadaan saya di tempat kerja (hospital) dapat memudahkan proses perawatan dan pemulihan pesakit,” katanya. – TVS