MIRI, 12 Mei: Program “Jom Explore! Why Not YP?” dilihat sebagai platform terbaik untuk ibu bapa dan anak mendapat khidmat nasihat mengenai bidang perakaunan.
Seorang guru, Sannyah Tuah berkata, selain memberi pendedahan mengenai bidang perakaunan, ibu bapa dan anak boleh mendapatkan maklumat skim pembiayaan ditawarkan Yayasan Peneraju.
“Pada pandangan saya, sebab ACCA ini dia fast track untuk mereka yang nak jadi akauntan. Kalau nak ambil diploma, kena sambung Ijazah Sarjana Muda dan terpaksa juga ambil ACCA. Jadi kalau terus ambil ACCA kira jimat masa sikitlah.
“Sebenarnya perlu datang ke sini dahulu untuk mencari maklumat. Bila dah datang, sertai program dan kita akan diterangkan mengenai kursus pengajian serta skim pembiayaan daripada Yayasan Peneraju.
“Ia sangat membantu untuk lepasan SPM ini. Sekurang-kurangnya dapat menampung kos pengajian walaupun perlu dibayar balik kelak. Sekurang-kurangnya ada peluang untuk menyambung pelajaran,” katanya.
Faizalijohan Ali yang turut senada dengan Sannyah berkata, dia berpuas hati dengan sesi yang disediakan semasa Program “Jom Explore! Why Not YP?”.
“Pada mulanya saya datang ke sini kerana saya nak melihat sendiri, sebab sebelum ini saya hanya melihat iklan di media sosial. Jadi saya menyertai program ini untuk mengetahui apakah Yayasan Peneraju. Jadi setelah mengikuti program ini dan mendengar taklimat, saya berasa sangat berpuas hati dan faham. Saya menyokong jika program seperti ini terus diadakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kedua-duanya turut berpendapat promosi mengenai program “Jom Explore! Why Not YP?” perlu diadakan secara besar-besaran dan lebih awal.
Program tersebut bertujuan membimbing pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai laluan profesional dalam bidang perakaunan melalui kelayakan antarabangsa seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Bertauliah (ACCA) dan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).
Program anjuran Yayasan Peneraju dan Kementerian Ekonomi tersebut berlangsung dari 27 April hingga 24 Mei 2025 di beberapa negeri termasuk Sarawak dengan sasaran penglibatan seramai 2,000 hingga 2,500 peserta baharu tahun ini. – TVS