Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahmad Zahid hadir pada Majlis Pemasyhuran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas hari ini. Foto,TVS.

MRSM Kepala Batas kini dikenali MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi

ByTVS

KEPALA BATAS, 12 Mei: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kini dikenali dengan nama baharu sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai menghargai jasa mantan Perdana Menteri ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam memartabatkan dunia keilmuan.

Acara pemasyhuran itu yang turut dihadiri anak sulung Allahyarham, Tan Sri Kamaluddin, disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Dato’ Abdul Fatah, MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebagai usaha mengabadikan jasa Allahyarham yang begitu besar terutamanya dalam kepimpinan UMNO, beliau juga akan membawa saranan kepada Ahli Majlis Tertinggi pada minggu hadapan bagi mengabadikan sebuah Institut Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kita akan letakkan ini sebagai sebuah institut bukan hanya latihan, tetapi juga untuk menjadi pusat kaji selidik kepada UMNO.

“Kita akan menghidupkan semula pusat kaji selidik politik itu dan akan diletakkan nama sempena Allahyarham Pak Lah (Tun Abdullah),” katanya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini.

MRSM Kepala Batas telah dirasmikan oleh Allahyarham Tun Abdullah pada 29 Mac 2009 semasa menjadi Perdana Menteri.

Antara legasi terbesar Allahyarham dalam pendidikan MARA ialah pengukuhan sistem pendidikan dualistik yang menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi yang menjadi asas kepada program Ulul Albab MRSM.

Sehingga hari ini, MARA memiliki lapan MRSM Ulul Albab di seluruh negara dengan cetusan idea yang dibawa Allahyarham.

Allahyarham juga begitu dekat dengan penduduk Kepala Batas kerana menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu selama kira-kira 35 tahun sejak 1978 hingga 2013 bagi lapan penggal berturut-turut.

Anak kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu meninggal dunia pada usia 85 tahun semasa dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 14 April lalu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan