KUALA LUMPUR, 12 Mei: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 menjadi medan strategik untuk membina kerjasama antara kerajaan dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana acara tersebut menghimpunkan pemain utama dalam sektor yang relevan dalam ekonomi baharu.
“Ini termasuk industri pertahanan dan penerbangan komersial, termasuk dalam bidang Penyelenggaraan, Pembaikan dan Pengubahsuaian (MRO), Internet of Thing (IoT), satelit dan teknologi angkasa.
“Bertemakan ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’, Penganjuran ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi maritim dan aeroangkasa di peringkat serantau dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanannya, Tunku Nashrul Abaidah hari ini.
Tambah Tunku Nashrul, Anwar mahu penganjuran LIMA kali ini memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, agar dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui inovasi.
LIMA juga katanya akan memangkin pertumbuhan ekonomi dengan menarik pelaburan langsung asing dan merancakkan pelancongan serta perdagangan luar negara. – TVS