KUCHING, 12 Mei: Lima lelaki berusia antara 18 hingga 20 tahun ditangkap manakala tiga motosikal disita dalam satu operasi bagi membanteras samseng jalanan di sekitar Kuching, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata operasi bermula jam 11 malam tadi hingga jam 5 pagi tadi itu, membabitkan Jalan Tun Abdul Rahman Yakob, Jalan Tun Salahuddin, Jalan Gersik dan kawasan Masja.
“Kelima-lima individu tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tiga motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati telah diubah suai daripada struktur asal serta bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sepanjang operasi tersebut, 18 individu dan 18 motosikal diperiksa. Polis turut mengeluarkan 31 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Beliau menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa memandu dengan berhemah, berhati hati di jalan raya, tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan serta tidak mengubahsuai struktur asal kenderaan,” katanya.