Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Irwan Zulkarnain menerima cenderamata daripada Datuk Tiong Thai King pada majlis penyampaian hadiah sempena sambutan Jubli Emas RH Group di Kelab Golf Sibu, hari ini. Foto TVS

Kerajaan alu-alukan inisiatif sektor swasta pacu pembangunan ekonomi negara

SIBU, 12 Mei: Kerajaan amat mengalu-alukan inisiatif dan komitmen sektor swasta dalam memacu pembangunan ekonomi negara.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie berkata Rimbunan Hijau Group (RH Group) adalah contoh unggul yang telah memberi sumbangan luar biasa kepada pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan di Sarawak mahupun Malaysia serta memuji sumbangan signifikan kumpulan korporat tersebut.

“Kerajaan amat mengalu-alukan inisiatif sektor swasta seperti yang dilakukan oleh RH Group, yang bukan sahaja memperkukuh ekonomi Sarawak dan Malaysia, tetapi turut membuka ribuan peluang pekerjaan serta merancakkan pelaburan dalam sektor perkilangan dan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Fadilah Yusof semasa Kejohanan Golf sempena sambutan Jubli Emas RH Group di Kelab Golf Sibu pada Isnin.

Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah daripada TPM kepada RH Group atas pencapaian 50 tahun yang luar biasa, dan menzahirkan keyakinan bahawa syarikat itu akan terus menjadi peneraju pembangunan negara.

“RH Group telah berkembang dari permulaan yang sederhana kepada syarikat multinasional dengan operasi pelbagai negara seperti di Papua New Guinea, Kanada, Rusia, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, dan China. Ini satu pencapaian luar biasa yang patut dibanggakan,” ujarnya.

Beliau juga memuji semangat sinergi yang ditonjolkan RH Group dalam menjalin kerjasama erat dengan kerajaan, sekaligus memperkukuh dasar pembangunan inklusif dan mampan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan penaja kejohanan golf yang menjadi sebahagian daripada sambutan Jubli Emas.

“Acara seperti ini bukan sekadar pertandingan, tetapi simbol nilai kerjasama, disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi,”

“Terima kasih kepada Rimbunan Hijau kerana menyemai semangat perpaduan dan kekitaan menerusi acara hari ini. Semoga Jubli Emas ini menjadi titik tolak kepada pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang,” tambah beliau.

Dalam pertandingan tersebut, Nasrul Ahmad muncul sebagai juara bagi kategori Nett, dengan catatan 62 mata, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.

Tempat kedua dimenangi oleh Mohamad Ramezan Bin Ramli dengan 63 mata, memenangi RM2,500, manakala Mohamad Lukas Lim di tempat ketiga dengan 64 mata dan menerima RM2,000.

Sementara itu, dalam kategori Gross, Raymond Ling dinobatkan sebagai juara dengan catatan 76 mata dan menerima hadiah wang tunai RM2,500.

Tempat kedua diraih oleh Abdul Hakim Bin Hitmi yang mencatat 77 mata dan membawa pulang RM2,000. Andy Hii Srik Kiang pula menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 78 mata dan menerima RM1,800.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan