BINTULU, 12 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda di kedudukan satu batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, Bintulu pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0 melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih yang sedang menunda tongkang membawa muatan kayu balak.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, bot tunda dalam pelayaran menuju perairan Bintulu dari Kudat, Sabah.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan tiga orang kru termasuk nakhoda warganegara Myammar, dua kru warga tempatan dan dua kru warganegara India,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 26 hingga 64 tahun.
Bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 65F (2), Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu pemilik atau nakhoda mengemukakan maklumat palsu atau berbeza sepertimana maklumat tertera dalam Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang jika disabitkan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM 2,500.
Bot berserta kru ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia mengingatkan semua komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi segala peraturan atau undang-undang dan mengamalkan prosedur keselamatan ke laut bagi mengelak serta mengurangkan risiko insiden tidak diingini berlaku,” ujarnya. -TVS