BINTULU, 12 Mei: Masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban, diseru agar terus memelihara warisan sambutan Gawai Dayak yang mencerminkan jati diri, nilai gotong-royong serta semangat kekitaan dalam kalangan komuniti.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi berkata, suatu ketika dahulu, sambutan Gawai Dayak dirancang dan disambut secara menyeluruh selama sebulan, dengan pelbagai aktiviti tradisional yang sarat nilai simbolik, termasuk semangat perpaduan dan penghargaan terhadap kejayaan bersama.
“Persiapan dimulakan dengan ‘Mantar Gawai’, diikuti dengan upacara berkumpul di ruai tuai rumah, di mana penduduk rumah panjang bersama-sama melakukan miring dan berjalan di sepanjang ruai dalam pakaian tradisional sebagai simbolik ‘Ngelalu Petara’.
“Apabila ada tetamu hadir, termasuk pemimpin masyarakat dan anak-anak yang berjaya dalam pelajaran, mereka turut diberi ruang untuk berucap sebagai dorongan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Projek Jalan dan Sambutan Pra-Gawai di Rumah Robert, Batu 15 Jalan Bintulu-Miri, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Majang berkata, pada malam sambutan Gawai, masyarakat akan menikmati air pengayu, minuman simbolik kesejahteraan dan panjang umur.
“Air pengayu diminum sebagai lambang menutup lembaran tahun lalu dan menyambut tahun baharu. Ia turut disertai dengan miring dan doa sebagai tanda syukur atas pencapaian sepanjang tahun,” katanya.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan beberapa projek pembangunan di Rumah Robert menerusi peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju, antaranya pembinaan Tadika Rumah Robert bernilai RM100,000, kerja merata tapak rumah panjang (RM100,000), menaik taraf jalan ke tadika (RM200,000), serta membaik pulih bumbung rumah panjang (RM90,000).
Selain itu, jalan masuk ke kawasan rumah panjang berkenaan turut dinaik taraf menerusi peruntukan di bawah Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Majang menegaskan, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan luar bandar supaya kemajuan fizikal dan pemuliharaan budaya warisan dapat digerakkan seiring demi kelestarian komuniti luar bandar.