KOTA SAMARAHAN, 12 Mei: Umat Islam perlu mempelajari al-Quran dengan memahami maksud setiap surah yang dibaca.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Idris Buang berkata, memahami isi kandungan al-Quran penting untuk memahami ibadah yang dilakukan lebih fokus.
“Sebagai contoh surah Al-Fatihah, tidak mungkin kita tidak memahami isi kandungannya, tanpa memahami, kita mungkin tidak khusyuk ketika solat dan begitu juga surah lazim lain.
“Saya menasihati adik-adik yang sedang belajar, belajarlah al-Quran, fahami maksudnya barulah kehidupan kita sentiasa selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Samarahan di Masjid Darul Istiqaman, Kampung Niup, pada Ahad.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 21 qari dan qariah berentap merebut gelaran juara peringkat daerah.-TVS