JULAU, 12 Mei: Keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan asas kepada rakyat terus terbukti apabila dua lagi rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan kini menikmati bekalan elektrik 24 jam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, Rumah Sat di Sungai Selepong dan Rumah Repi di Rantau Limau, Ulu Kanowit dilengkapkan dengan pemasangan meter grid oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) pada 7 Mei lalu.
“Kedua-dua rumah panjang ini, masing-masing mempunyai 18 dan 55 bilik, kini menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES), salah satu inisiatif di bawah Kerajaan Sarawak,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Sebelum ini Rumah Felix Jalin di Bukit Seri, Jalan Stulak turut menerima kemudahan bekalan elektrik pada November 2024.
Rolland turut memaklumkan bahawa tumpuan seterusnya adalah untuk memperluas projek ini ke kawasan Masit dan Nanga Ensiring.
Beliau berharap pihak SEB akan terus berusaha gigih bagi memastikan lebih banyak kawasan luar bandar dapat menikmati kemudahan asas ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sarawak Energy Berhad, khususnya unit RES, SEB Retail Sarikei dan pasukan Pakan yang sentiasa komited dalam merealisasikan projek ini walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran,” tambah beliau.
Projek RES merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan luar bandar menerusi penyediaan infrastruktur asas yang lebih baik. – TVS