KUCHING, 12 Mei: Pertandingan tarian ‘Born To Perform’ yang diadakan julung kalinya di Muzium Budaya Borneo berjaya menghimpunkan bakat-bakat muda dari seluruh rantau Asia Tenggara dalam satu pentas seni yang berprestij.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pertandingan tersebut merupakan platform untuk mencungkil serta mengetengahkan bakat seni generasi muda dari pelbagai latar belakang dan negara serantau.
“Ini merupakan kali pertama pertandingan tarian ini diadakan di Kuching dengan penyertaan dari Indonesia, Sabah dan Sarawak serta juri jemputan dari Australia.
“Saya melihat ini sebagai sebuah pertandingan besar yang memberi peluang untuk mengenal pasti bakat terbaik dalam bidang tarian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Tarian ‘Born To Perform’ Edisi Sulung di Muzium Budaya Borneo Kuching, di sini hari ini.
Pertandingan ini dianjurkan oleh COMDANCE, iaitu wakil rasmi CSTD (Persatuan Guru-Guru Tarian Komanwel) untuk Wilayah Malaysia Timur dan Indonesia dengan kerjasama Persatuan Gum-Gum Tanan dan Seni Kuching (PGGTSK).
Sebanyak 108 persembahan dipertandingkan dalam pelbagai kategori termasuk solo, duo, trio dan kumpulan kecil melibatkan peserta seawal usia lima tahun hingga kategori terbuka.
Genre tarian yang dipertandingkan meliputi ballet klasik, jazz moden, lyrical, tap, kontemporari, hip hop, tarian kebangsaan dan teater muzikal.
Pertandingan itu menarik penyertaan seramai 120 peserta daripada 11 sekolah tarian dari seluruh Sarawak, Sabah, Labuan, serta beberapa wilayah di Indonesia termasuk Jakarta, Balikpapan dan Cirebon. – TVS