Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Semua bakal jemaah haji Malaysia diingatkan supaya merujuk dengan teliti jadual penerbangan masing-masing dan hadir ke stesen berlepas tepat pada waktu bagi memastikan kelancaran urusan keberangkatan ke Tanah Suci. Foto TVS

Bakal jemaah haji diingat hadir ikut masa, rujuk surat penerbangan – TH

ByBernama

SEPANG, 12 Mei: Semua bakal jemaah haji Malaysia diingatkan supaya merujuk dengan teliti jadual penerbangan masing-masing dan hadir ke stesen berlepas tepat pada waktu bagi memastikan kelancaran urusan keberangkatan ke Tanah Suci.

Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air Tabung Haji (TH) Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata pematuhan terhadap tarikh, masa dan lokasi melapor diri seperti yang tertera dalam surat jadual penerbangan amat penting bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar serta mengelakkan sebarang kesulitan.

“Amat penting sekali untuk merujuk surat jadual penerbangan. Di situ telah ditetapkan tarikhnya, tempat melapor diri dan juga waktu. Saya minta semua bakal-bakal haji rujuk surat itu betul-betul dan datanglah tepat pada waktunya ataupun awal sedikit, insha-Allah, untuk memudahkan,” katanya ketika ditemui di Stesen Berlepas TH di Hotel Movenpick, di sini hari ini.

Beliau turut menyeru para jemaah agar menjaga kesihatan sebelum dan semasa menunaikan ibadah haji, memandangkan ibadah itu menuntut kekuatan fizikal yang tinggi.

“Haji ini banyak melibatkan fizikal, maka kesihatan kita kena mantap… bawa bekalan ubat, jangan terlupa supaya bila pergi ke sana (Tanah Suci) tu kita sihat dan dapat mengerjakan ibadat dengan baik,” katanya.

Mohamed Ameen memberi jaminan bahawa petugas TH akan berada di setiap peringkat perjalanan bagi memastikan kebajikan jemaah terpelihara.

“Jangan risau, petugas-petugas kami ada di sana untuk menjaga tuan-puan. Di sini kami menjaga tuan sehingga kapal terbang berlepas, bila sampai di sana, buka sahaja pintu, ada rakan-rakan kami di sana untuk menjaga,” katanya.

Mengulas mengenai operasi haji negara setakat ini, beliau berkata sebanyak 40 kumpulan penerbangan (KT) melibatkan 12,030 jemaah daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah Malaysia telah selamat tiba di Madinah.

“Berbaki 19,570 bakal-bakal haji yang akan diterbangkan dan kami di sini menunggu kedatangan mereka di Hotel Movenpick dan juga di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya.

Bagi musim haji tahun ini, TH menggunakan sebanyak lapan stesen berlepas negeri bagi memudahkan urusan melapor diri jemaah haji Malaysia. Stesen-stesen tersebut terletak di Sepang (Selangor), Alor Setar (Kedah), Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Senai (Johor), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

Kesemua jemaah akan dikumpulkan di Pagar C17, Balai Pelepasan KLIA sebelum menaiki penerbangan ke Tanah Suci, sama ada ke Madinah atau Makkah.

Bagi mempermudah urusan ketibaan jemaah di Arab Saudi, kerajaan turut melaksanakan inisiatif ‘Makkah Route’, iaitu satu laluan khas imigresen yang membolehkan proses visa, kastam dan imigresen diselesaikan lebih awal di KLIA. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan