SRI AMAN, 12 Mei: Seramai 17 individu warga asing ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Unit Penguatkuasa Imigresen Sri Aman di rumah kongsi yang terletak di sebuah ladang di Saratok pada Sabtu.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, operasi melibatkan seramai lapan anggota penguatkuasa itu dilaksanakan sekitar jam 12.13 tengah malam.
“Hasil daripada operasi itu, pihak berkuasa menahan seramai 17 individu warga asing yang terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita.
“Antara kesalahan yang dikesan ke atas individu yang ditahan adalah tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh masa dibenarkan,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Operasi tersebut akan terus dijalankan bagi memastikan undang-undang Imigresen sentiasa dipatuhi.-TVS