KABONG, 11 Mei: Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Kebangsaan Abang Leman (SKAL) perlu terus memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada pembangunan sekolah dan komuniti setempat di Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, rekod pencapaian yang dicapai selama ini harus dijadikan sebagai pemangkin semangat kepada setiap bekas pelajar SKAL untuk terus menabur bakti.
“Persatuan ini bukan sekadar platform untuk berhubung semula dengan rakan lama tetapi sebagai medan untuk memberi kembali kepada alma mater dan membina jaringan sokongan kukuh demi masa depan generasi baharu,” katanya.
Beliau ketika demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Kebangsaan Abang Leman (SKAL) sesi 2025 hingga 2028 di Dewan Sekolah Kebangsaan Abang Leman Kabong pada Ahad.
Pada majlis sama, Mohd Chee Kadir turut meluluskan peruntukan sebanyak RM15,000 kepada Persatuan Bekas Pelajar SKAL bagi menjalankan aktiviti bermanfaat sepanjang tahun 2025.
Turut diadakan sesi pembentangan laporan tahunan dan pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2025 hingga 2028 dan pelan strategik Persatuan Bekas Pelajar SKAL bagi tempoh tiga tahun akan datang.-TVS