MIRI, 11 Mei: Program Niti Daun 2025 Bahagian Miri yang berlangsung di Gawai Bazaar Permyjaya bukan sekadar pesta komuniti, malah menjadi simbol penyatuan kepelbagaian etnik dan budaya tempatan, serta platform penting memperkasakan perpaduan, warisan dan ekonomi masyarakat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, melahirkan rasa bangga terhadap penganjuran program yang menghimpunkan pelbagai kumpulan etnik dari seluruh Miri dan Baram, termasuk lebih 15 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Iban, dalam satu perayaan yang penuh warna-warni dan bermakna.
“Saya benar-benar kagum kerana ini kali pertama kita mengadakan acara yang melibatkan pelbagai kumpulan etnik di Miri. Kalau anda datang ke Miri, anda akan melihat Sarawak sebenar kerana semua etnik, besar atau kecil, diwakili di sini,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian di Permymall di sini, semalam.
Menurutnya, penyertaan pelbagai kaum dengan latar belakang budaya, bahasa dan tradisi yang unik ini mencerminkan kekuatan sebenar Sarawak yang dibina atas asas toleransi dan keharmonian masyarakat majmuk.
“Dengan pelbagai warna, tradisi, dan latar belakang, saya yakin kita mampu mempamerkan apa yang kita ada kepada Sarawak, Malaysia dan dunia. Inilah wajah sebenar perpaduan dan identiti kita,” tambahnya.
Program ini turut menyediakan ruang pameran kepada lebih 20 usahawan muda dan pengusaha tempatan yang menjual produk kraftangan, makanan tradisional, tekstil dan pakaian etnik, sekali gus memperkukuh dimensi ekonomi budaya tempatan.
“Ruang pameran ini harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menambah pendapatan dan meluaskan pasaran. Ini bukti bahawa budaya dan ekonomi boleh bergerak seiring.
“Saya turut menyeru agar semua etnik di Sarawak ini, khususnya komuniti Dayak, terus berganding bahu memelihara warisan dan memartabatkan budaya melalui acara seperti ini, agar tidak luput ditelan zaman,” ujarnya.
Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai acara menarik seperti persembahan budaya daripada kumpulan tarian pelbagai etnik, pertandingan kostum tradisional serta demonstrasi permainan rakyat sempena program yang julung kali diadakan di Miri ini.
Program Niti Daun dianjurkan sebagai sebahagian daripada acara sambutan Gawai Dayak Peringkat Miri, dan menjadi platform tahunan penting dalam usaha memartabatkan budaya, memperkukuh keharmonian masyarakat serta mempromosi Miri sebagai destinasi pelancongan budaya utama di utara Sarawak. -TVS