KUALA TERENGGANU, 11 Mei: Seorang peniaga kosmetik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1.02 kilogram (kg) hujung bulan lepas.
Tertuduh, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Berdasarkan pertuduhan dia didakwa telah mengedar dadah yang berbahaya disyaki jenis Methamphetamine (serbuk/ketulan) berat kasar 1,015 gram, pada 28 April lepas jam 8.40 malam di sebuah kedai di Paya Keladi di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) yang boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang dari 15 sebatan jika tidak dihukum mati.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan sebelum mahkamah menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-TVS.