MUKAH, 11 Mei: Kerja-kerja pemadaman kebakaran ladang rumbia di Ladang Pelita Sagu Sebakong di sini, ditamatkan hari ini selepas api padam sepenuhnya.
Komander Operasi, Stephen Plen berkata, operasi hari ketiga itu ditamatkan jam 10.50 pagi tadi selepas api padam sepenuhnya akibat hujan lebat di kawasan ladang tersebut dan dilaporkan dalam keadaan selamat.
“Setibanya di lokasi kejadian pada jam 9.32 pagi tadi didapati kawasan kebakaran terkini dalam keadaan terkawal dan tidak merebak ke seberang jalan utama kerana terdapat parit besar sebagai firebreak serta perubahan angin ke arah utara yang melambatkan proses pembakaran dan sumber bahan yang berkurangan.
“Pasukan bomba hanya membuat pemantauan dan sedikit membuat kerja pemadaman dengan menggunakan satu aliran 200 kaki menggunakan floating pump dan air dari parit berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kes itu pada Jumaat dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan ladang rumbia berkeluasan 50 hektar telah terbakar 12 hektar di bahagian kawasan tengah ladang berkenaan,” ujarnya. -TVS