KUCHING, 11 Mei: Operasi Haji Tanah Air (OHTA) bagi musim haji 1446H/2025 di stesen berlepas Kuching telah berjalan dengan lancar.
Penerbangan Fasa 1 jemaah haji Malaysia yang bermula pada 9 Mei dan dijadualkan berakhir pada 13 Mei 2025 menyaksikan pelepasan kumpulan pertama jemaah dari Kuching menuju ke Kuala Lumpur.
Pemeriksaan imigresen bagi jemaah haji stesen Kuching telah dilaksanakan dengan kemudahan di RAIA Hotel bagi melancarkan proses keberangkatan.
JIM Sarawak dalam kenyataan berkata, seramai 284 jemaah haji Malaysia dari stesen Kuching telah berjaya diperiksa keluar dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
“Mereka menaiki pesawat Malaysia Airlines, iaitu MH8421 yang berlepas pada 9 Mei jam 11.15 malam dan MH8417 yang berlepas pada 10 Mei jam 7.15 malam.
“Kedua-dua penerbangan ini menuju ke Kuala Lumpur sebagai transit sebelum meneruskan penerbangan ke Tanah Suci,” kata kenyataan itu.
Proses pelepasan jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching berjalan dengan tertib dan lancar.
Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat dan bantuan daripada semua agensi yang terlibat dalam OHTA 1446H di stesen Kuching.
Koordinasi yang baik antara agensi-agensi ini memastikan semua urusan perlepasan dapat diselesaikan dengan efisien dan selesa bagi para jemaah.-TVS