SARATOK, 11 Mei: Penyertaan sekadar suka-suka Pasukan Medical Sarikei pada Pertandingan Memancing anjuran Kolam Pancing SGB dan Kolam Pancing Agun berbaloi selepas mendapat rezeki lumayan.
Ketua pasukannya, Hudson Kanyan berkata, kejayaan menaikkan ikan keli seberat 8.9 kilogram (KG) merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan.
“Kita menyertai pertandingan ini sekadar suka-suka kerana memancing merupakan aktiviti wajib kami pada hujung minggu.
“Kejayaan ini ibarat bonus kepada kami untuk menyambut Hari Gawai,” katanya selepas diumumkan pengumuman pemenang Pertandingan Memancing di Kolam SGB Sungai Brangan di sini pada Ahad.
Sementara itu, pemilik Kolam Pancing SGB, Stephen Arin Lutek berkata, idea menganjurkan pertandingan tersebut hadir selepas melihat kejayaan beberapa pertandingan di Bintulu dan Semenanjung Malaysia.
“Saya memberanikan diri untuk menganjurkan pertandingan ini dan ia ternyata berbaloi dan mendapatkan sambutan menggalakkan,” ujarnya.-TVS