KUCHING, 11 Mei: Majlis Makan Malam Pra Gawai 2025 merupakan satu peluang untuk memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Dayak di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, melalui program sebegini ia juga dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
“Program Pra Gawai ini menunjukkan budaya kita selain mempersembahkan pelbagai jenis tarian. Ia juga sekali gus dapat memberitahu kepada belia-belia kita mengenai betapa pentingnya untuk meneruskan hubungan silaturahim ini.
“Selain itu juga, kita akan terus bersatu dalam menyokong apa sahaja yang dilaksanakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui menghadiri Majlis Makan Malam Pra Gawai 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Penview Demak, malam tadi.
Dalam majlis tersebut, pelbagai persembahan dan tarian turut dipersembahkan antaranya Ngajat Lesung, Nebah Belikan, Bepencha dan nyanyian daripada artis jemputan.
Kemuncak acara diteruskan dengan simbolik “Nyeradakka Ai Pengayu”, karaoke terbuka, Persembahan Fesyen Khas: Warisan Kebaya Dabung Wanita DUN Bukit Saban, penyampaian hadiah “Best Dress Of The Night (lelaki dan wanita) serta cabutan bertuah.
Hadir sama isterinya, Datin Amar Dato Doreen Mayang, Ahli Parlimen Betong, Dato Richard Rapu serta isteri Datin Lucy Mary Johnson.
Sambutan Gawai Dayak 2025 Peringkat Negeri Sarawak akan disambut di dua lokasi iaitu Kuching dan Miri manakala Perarakan Gawai Dayak bakal diadakan pada 21 Jun depan di Tebingan Sungai Kuching. – TVS