KOTA KINABALU, 11 Mei: Kebakaran besar yang memusnahkan lapan buah rumah separuh kekal di Kampung Kalansanan petang tadi telah meragut satu nyawa dan mencederakan seorang lagi mangsa.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.58 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
Operasi pemadaman melibatkan 30 anggota termasuk bantuan dari BBP Kota Kinabalu dan Penampang, dengan kekuatan lima jentera termasuk dua tangki air dan satu unit EMRS.
Rumah pertama hingga rumah kelapan mengalami kemusnahan antara 50 hingga 100 peratus. Mangsa pertama, lelaki berusia 39 tahun, ditemui rentung berdekatan stor rumah pertama sekitar jam 8.20 malam, manakala seorang lagi mangsa cedera akibat terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri.
Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dihantar ke hospital berdekatan.
JBPM memaklumkan bahawa operasi dikawal sepenuhnya pada jam 6.08 petang, manakala kerja-kerja overhaul masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa bara berbahaya.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-TVS