MUKAH, 11 Mei: Kebakaran ladang tanaman rumbia di Ladang Pelita Sagu Sebakong, Mukah memasuki hari kedua pada Sabtu dengan anggaran keluasan terbakar meningkat kepada lebih 300 hektar.
Menurut kenyataan dari Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak, kebakaran yang mula dikesan pada Jumaat lalu sekitar sektor C25 dan C26 pada mulanya melibatkan 12 hektar, namun telah merebak dengan pantas disebabkan tiupan angin kuat dan cuaca kering.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah yang diketuai Ketua Balai, PPgB Nicholas Belulin telah menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan pam air terapung, dua aliran hos sepanjang 500 kaki serta sumber air terbuka dari saluran parit di kawasan ladang.
“Operasi berdepan kesukaran disebabkan oleh paras air yang cetek serta angin yang bertiup kencang,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Bagaimanapun, rondaan dan pemantauan berterusan dilakukan oleh anggota bomba sejak awal pagi Sabtu bagi memantau perkembangan situasi.
“Kawasan penempatan berhampiran, termasuk Kampung Sitieng yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kebakaran masih selamat dan tidak terjejas.
“Parit di kawasan tersebut turut bertindak sebagai penghadang semula jadi atau “fire break”,” katanya lagi.
Bomba turut menasihati penduduk sekitar agar terus berwaspada dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya keadaan semakin memburuk.
Sementara itu, pihak bomba telah meminta pengurusan ladang untuk memantau dan melaporkan status terkini serta mengambil langkah-langkah kawalan. -TVS